Wednesday, September 1, 2010

eBario Sdn Bhd miliki stesen radio komuniti pertama di Malaysia

http://sarawakupdate.com/home/berita/zon-utara/ebario-sdn-bhd-miliki-stesen-radio-komuniti-pertama-di-malaysia/

eBario Sdn Bhd miliki stesen radio komuniti pertama di Malaysia

KUCHING, 1 Sept (Bernama)

Sebuah perusahaan sosial, eBario Sdn Bhd, yang diwujudkan untuk mengendalikan telepusat eBario yang jauh dan terpencil di Tanah Tinggi Kelabit di Sarawak, muncul penerima pertama lesen bagi sebuah stesen radio komuniti di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, John Tarawe berkata lesen untuk mengendalikan stesen Radio Komuniti Bario itu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMK) semalam.

Tarawe, seorang fellow penyelidik dan perunding di pusat kecemerlangan informatik luar bandar, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), berkata:

“Cadangan untuk mewujudkan stesen itu adalah antara 40 permohonan terpilih daripada 800 dari seluruh dunia, kepada kemudahan Bantuan Masyarakat Adat (IPAF), dan merupakan inisiatif yang mengambil masa dua tahun untuk komuniti itu melobi dengan mendapat sokongan Rurum Kelabit Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tarawe, daripada suku Kelabit yang tinggal di Bario dan seorang ahli majlis daerah, berkata stesen itu, yang berhasrat memberi perkhidmatan kepada penduduk dalam lingkungan Forum Masyarakat Adat Dataran Tinggi (Formadat) — dibiayai oleh Dana Antarabangsa bagi Pembangunan Pertanian, di bawah IPAF.

Ekoran kejayaan meraih pelbagai anugerah kerana pendekatan berinovasi dalam penggunaan teknologi komunikasi maklumat bagi pembangunan sosio-ekonomi penduduk di kawasan pedalaman Bario, beliau berkata stesen radio itu dilihat sebagai sambungan semula jadi telepusat eBario dengan menyalurkan maklumat terus ke rumah mereka.

Pada masa ini, telepusat itu menyediakan khidmat maklumat kepada penduduk Bario menerusi perkongsian akses awam ke internet.

“Stesen itu akan diuruskan dan dikendalikan oleh komuniti itu sendiri, dengan penyiaran sebahagian besar daripada bahannya dilakukan dalam bahasa Kelabit tempatan,” kata Tarawe.

Dengan perancangan untuk menyiarkan program di internet untuk menyediakan khidmat maklumat kepada sejumlah besar perantau Kelabit yang tinggal di seluruh Malaysia dan sekitarnya, beliau berkata stesen radio itu juga dijangka memberi sumbangan ke arah menghidupkan semula bahasa.

Selain menyiarkan berita tempatan yang dikumpul oleh penduduk sendiri, stesen itu akan menyediakan saluran untuk pengumuman khidmat awam dalam bahasa Kelabit, termasuk menyampaikan berita nasional, selain menyediakan maklumat bagi menggalakkan pertanian yang lebih baik, menggalakkan perusahaan komersial, memelihara budaya setempat, memperluas pendidikan dan menambah baik kesihatan awam.

Sementara itu, SKMK menggambarkan radio komuniti itu sebagai “berskala kecil, kos rendah, sistem penyiaran radio yang bukan bermatlamatkan keuntungan direka untuk menyampaikan kandungan yang mempunyai kepentingan khusus kepada komuniti yang diliputinya.” — BERNAMA

No comments:

Post a Comment